Sunday, May 15, 2011

"Wahai Yahya, Ambillah Al-Kitab Itu Dengan Kekuatan"





Saya ingin berkongsi satu pengalaman saya.
Pada satu hari, ketika saya masih di Markaz Bahasa sebelum masuk ke Universiti Yarmouk, saya menghadapi masalah.Masalah itu adalah untuk mengikuti pelajaran "Mendengar" atau dalam bahasa Arabnya, kelas ini dinamakan kelas Istima'.

Agak sukar kerana biasanya, Sheikh saya di sekolah lama akan bercakap dalam bahasa Arab Fushah (bahasa asal) dan bercakap tidak berapa laju. Namun di dalam kelas Istima' ini, pensyarah yang mengajar saya, Dr Omar Okasha sering menggunakan video bertajuk "Mahatot". Video ini ibarat video National Geographic, tetapi sering menayangkan perihal atau keadaan masyarakat di negara Arab.

Percakapan dalam video itu nyata sukar untuk diikuti kerana ia menggunakan bahasa Arab campur.Sedikit bahasa Arab Fushah, dan sedikit bahasa Arab 'Ammi'. Malah percakapannya teramat-amat laju sehingga selalunya, telinga saya tidak dapat menangkap apa yang diucapkan oleh video itu. Malah bukan saya sahaja yang menghadapi masalah pendengaran ini, rakan2 Melayu & Turki yang lain turut berkongsi masalah yang sama.

Akhirnya saya mengambil inisiatif bertemu dengan Dr Omar Okasha. Saya memintanya agar ditukarkan video itu kepada tahap yang lebih mudah seperti kartun. Dia tersengih sahaja apabila mendengar permintaan saya.

Dia kata, "saya pakai video itu, sebab itulah kehidupan yang sebenar. Di universiti nanti, adakah doktor akan memperlahankan syarahannya semata-mata untuk kamu?. Mustahil."

Lalu saya berkata, "tetapi kuliah bahasa di sini amat mahal. Kalau saya gagal hanya kerana masalah pendengaran ini, maka saya akan susah."

Dia membalas. "Maka kamu kena berusaha. Berlatih untuk menangkap apa yang disampaikan. Latih telinga kamu."

Saya memberi alasan, "Susah Doktor, saya bukan Arab."

Doktor kata, "Tuhan kita berkata, 'Wahai Yahya, ambillah al-Kitab itu dengan kekuatan (bersungguh-sungguh).' "

Saya senyap. Doktor juga senyap, tetapi bibirnya menggaris senyum.

"Allah tidak berkata, 'Wahai Yahya, ambillah al-Kitab itu dengan kemalasan."Dia menambah.

Hati saya seperti dimasuki satu kefahaman baru.

Kemudian Doktor berkata kepada saya, "Belajar, belajar dan belajar."

Saya faham. Saya hanya memberikan dia alasan sedangkan dia sedang berusaha untuk mempertingkatkan ilmu dan diri saya. Sepatutnya saya perlu lebih bersungguh. Jika ada halangan, saya bukan perlu lari, tetapi saya perlu hadapi.

Tiada jalan senang dalam hidup ini. Tiada yang seratus peratus tenang dalam kehidupan ini. Semuanya memerlukan usaha. Semuanya memerlukan usaha yang gigih.

Alasan hanya akan menjadi halangan untuk melepasi limitasi diri.

Usaha dengan bersungguh-sungguh adalah ibarat senjata untuk merobohkan benteng limitasi itu.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dulu apa yang ada di dalam diri mereka." (ar-ra'd:11).

Kenapa saya tidak teguh di atas ayat ini?

"Sebenarnya manusia itu insan."

Itulah kata-kata guru saya. Insan bermaksud pelupa. Ya..saya terlupa. Saya cuai. Saya malas.

"Wahai Yahya, ambillah al-kitab itu dengan kekuatan (bersungguh-sungguh)." (Maryam:12).

Ayat ini terdapat dalam surah Maryam. Surah yang saya hafadznya dengan baik dan sering baca jika saya menjadi imam. Tidak sangka, ayat yang tidak sampai sejengkal jari saya ini, memberikan kesan yang besar untuk diri saya.

Saya menghela nafas.

Menerima teguran ini, seakan-akan menerima teguran senyap daripada Allah, dengan bicara-Nya yang lebut....

"Wahai Hilal, bergeraklah mencari redha-Ku, mencari ilmu-Ku, menjadi hamba-Ku, dengan kekuatan (bersungguh-sungguh)."

Alhamdulillah, Allah itu Maha Penyayang.

Mari kita bersama-sama duduk bermuhasabah, mengkoreksi diri dan menjadi kuat!



Petikan dari buku Kembara Hamba Mencari Cahaya.
Langit Ilahi 2.
Karya Hilal Asyraf.

No comments:

Post a Comment