Saturday, May 29, 2010

Tajarrud. Ini adalah pengorbanan jiwa!

Dengarlah laungan suara Ibnu al-Jauzi di pantai Dajlah di Baghdad:

"Langkah pertama di jalan ini ialah pengorbanan jiwa.

Ini adalah serius. Siapakah yang hendak melaluinya?"

Kesungguhan Al-Kailani Menerangkan Kewajipan Dakwah:

Kita cenderung untuk beriya-iya benar menerangkan wajib dakwah ini dan mengganggapnya sebagai muntalaq. Perkara ini sebenarnya sama seperti yang telah dilakukan oleh al-Syeikh Abdul Qadir al-Kailani Rahimahullah. Dalam khutbah setiap minggunya, beliau terus menerus mengingatkan penduduk Baghdad. Atau lebih tepat, beliau memberi peringatan kepada pemuda-pemuda terpilih yang datang berhimpun dari seluruh dunia ke ibu negara Islam, Baghdad.

Marilah kita jejaki bersama-sama Imam al-Kailani di zamannya itu. Beliau menyifatkan pada da’i dengan katanya:
“Mereka itu berada di maqam dakwah, menyeru manusia untuk mengenali Allah swt., sentiasa menyeru hati-hati manusia.”

Beliau menganggap peluang yang diberikan Allah S.W.T. kepada seseorang hamba untuk berada di maqam dakwah ini adalah merupakan sebesar-besar nikmat. Sibuknya hamba itu di dalam dakwah adalah menjadi bukti benarnya dia sebagai pengikut dan penyambung tugas Nabi S.A.W.

Baginda Rasulullah saw adalah da'i dan penunjuk. Apabila Baginda saw wafat, Allah telah memilih pengganti dari kalangan umatnya. Mereka tidak ramai, hanya beberapa individu sahaja dari tiap-tiap sejuta. Mereka memandu umat, bersabar menghadapi tekanan dan gangguan manusia. Mereka terus-menerus memberi nasihat, tersenyum berhadapan dengan orang munafik dan fasik. Mereka berusaha dengan pelbagai cara untuk melepaskan manusia dari nifaq dan fasik dan membawa manusia kepada Allah Azza Wajalla.

Kemudian al-Kailani menyeru supaya mematikan hawa nafsu yang jahat 'ammarah' yang mengajak kepada kejahatan, supaya tercapai kehidupan dakwah.

Syeikh al-Kailani kemudiannya meringkaskan sifat-sifat da’i dan syarat-syarat tauthiq (syarat-syarat utk mendapatkan perakuan thiqah) di dalam satu sifat yang ringkas dan padat; iaitu sifat tajarrud kamil (sifat tajarrud yang sempurna) dan tenggelam sepenuh dirinya ke dalam dakwah.
Da’i itu lupa dirinya. Dia tidak nampak kecuali mad'unya. Perkataannya hanya yang memberi kebaikan kepada mad’unya. Dunia da’i adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada keinginan sendiri dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia da’i hanyalah para mad’u yang didakwahnya. Itulah perniagaannya, keseronokannya dan pangkatnya.

“Dia seolah-olah manusia tanpa nafsu, tanpa keinginan dan tanpa keseronokan dunia. Dia lupa makan minum dan pakaiannya. Bahkan lupa dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah S.W.T. Di dalam hatinya tidak ada dirinya. Yang ada hanyalah makhluk Allah S.W.T (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada qada' Allah S.W.T.”

Itulah da'i contoh. Itulah sifat orang yang ingin menjadi “qa’idah sulbah” (core group) di mana Islam hari ini akan dapat dibina.

Demi Allah, dakwah ini tidak akan berjaya dan sampai ke mana sekiranya kita hanya memberikannya waktu lebihan untuknya, dan kita belum melupai diri dan makan minum kita.

Jahiliyyah abad ke dua puluh ini telah menambahkan lagi kegelapan zaman mutakhir ini segelap-gelapnya.

Al-Zahid Ruwaim berkata:
“Ia adalah pengorbanan jiwa, kalau tidak (maknanya) kamu menyibukkan diri dengan kerja tak guna.”

Demi Allah, demikianlah gaya hidup da’i !

-Bab 7 : Jihad dengan Hujah-Bab 14 : Kriteria Generasi Pengasas
Muntalaq

[disalin dari artikel badarktt yahoo group, dari kak nurani. harap ia menjadi penyunting semangat kita]

*da'i = pendakwah
**mad'u = insan yang dakwahkan

Thursday, May 20, 2010

Tujuh Golongan

Tazkirah 20/05/2010

Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda; Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naunganNya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah;

1. Pemimpin yang adil.

2. Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya.


3. Pemuda yang jiwanya sentiasa terpaut pada masjid-masjid.

4. Dua pemuda yang saling mengasihi kerana Allah iaitu kedua-duanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.

5. Seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan paras rupa yang cantik untuk melakukan kejahatan (zina) tetapi dia berkata, "Aku takut kepada Allah!"


6. Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

7. Seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalir air mata dari kedua matanya."

[HR Muslim]

Tuesday, April 27, 2010

Lifeline4Gaza

Assalamualaikum w.b.t.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah ta'ala berfirman; Nafkahkanlah harta kekayaanmu nescaya kamu akan diberi gantinya". [HR Bukhari dan Muslim]

Lifeline4Gaza, adalah kutipan derma untuk saudara kita di Palestin terutamanya di Gaza, untuk meringankan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas mereka.

Kutipan ini dilancarkan oleh beberapa NGO Malaysia (sila klik di sini untuk maklumat lanjut).

MSAI Mangalore, menjadi pemudah cara bagi penyaluran wang kutipan ini kepada NGO yang terbabit.

InsyaAllah, dengan sedikit sumbangan kita, dapat memberi suatu impak yang sangat besar kepada saudara seakidah kita di Palestin.

Dari 'Ady bin Hatim r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Takutlah kamu sekalian terhadap api neraka itu walaupun hanya bersedekah dengan separuh biji kurma". [HR Bukhari]

Akhirat nanti segala nikmat kita akan dipersoalkan, telahkah kita tunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim?

Palestin memerlukan kita.

Monday, April 26, 2010

Solat

Tayangan 23/04/2010

Assalamualaikum w.b.t.

Pada kali ini, saya mahu kongsikan sedikit sebanyak tentang solat dan hikmahnya.

Dari al-Qur’an;
Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. [al Ankabuut, 29:45]

Dari as-Sunnah;
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari qiamat ialah solatnya”. [HR Abu Daud dan at-Tirmidzi]


Solat umpama mandi 5 kali sehari.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata; Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Bagaimana pandanganmu seandainya pada pintu salah seorang di antara kamu sekalian ada sebuah sungai di mana ia mandi setiap hari lima kali di sungai itu; apakah masih tertinggal sesuatu kekotorannya?” Para sahabat menjawab; “Tidak”. Beliau bersabda lagi; “Demikianlah perumpamaan solat yang lima di mana Allah menghapus dosa-dosa dengannya”. [HR Bukhari dan Muslim]


Berwudhu'lah sebelum solat.

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur. [al Maidah, 5:6]


Hikmah berwudhu'

Dari Abu Hurairah r.a. berkata; “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya pada hari qiamat nanti umatku akan dipanggil dalam keadaan putih cemerlang dari bekas wudhu. Dan barangsiapa yang mampu untuk memperlebar putihnya maka kerjakanlah hal itu”. [HR Bukhari dan Muslim]


Pentingnya khusyuk dalam solat

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam salatnya. [al Mukminun, 23:1-2]


Antara solat sunat yang disarankan

1) Solat sunat sebelum Subuh
Daripada A'isyah r.anha, Nabi s.a.w. bersabda: "Dua rakaat fajar (sebelum solat Subuh) itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya". [HR Muslim]

2) Solat Dhuha dan Solat Witir
Dari Abu Hurairah r.a. berkata; “Kekasihku Rasulullah s.a.w. berpesan kepadaku untuk selalu puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan dua rakaat dhuha, dan mengerjakan solat witir sebelum aku tidur. [HR Bukhari dan Muslim]

3) Solat tahajjud
Dan pada sebahagian malam hari bersolatlah tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. [al Isra’, 17:79]


Ganjaran solat berjemaah Isyak dan Subuh

Dari Utsman bin Affan r.a. berkata: Saya mendengar Rasululllah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang solat isyak dengan berjemaah maka seakan-akan ia mengerjakan solat setengah malam, dan barangsiapa yang solat subuh dengan berjemaah maka seakan-akan ia mengerjakan solat sepanjang malam“ [HR Muslim]


Mencegah kemungkaran

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. [al Ankabuut, 29:45]

Dari Utsman bin Affan r.a. berkata; “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap orang Islam yang apabila waktu solat fardhu tiba kemudian dia menyempurnakan wudhu, dan khusyuk di dalam solat, nescaya solatnya itu menjadi kafarat atas dosa-dosa yang diperbuat sebelumnya selama tidak melakukan dosa besar. Yang demikian itu untuk sepanjang masa. [HR Bukhari dan Muslim]

Video lagu solat, by iyadavangere;

Saturday, April 10, 2010

BILA AL-QUR'AN BERBICARA

Waktu engkau masih kanak-kanak…
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu’,
Aku kau sentuh dalam keadaan suci,
Aku kau pegang
Aku, kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai
engkau menciumku mesra
Sekarang engkau telah dewasa…
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku…
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah…?
Menurutmu,
mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau,
menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji…
Sekarang,
Aku tersimpan rapi sekali;
sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi ruang stormu.
Kadang kala Aku dijadikan mas kawin
agar engkau dianggap bertaqwa
Atau
Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir,
dibiarkan dalam sendirian,
kesepian.
Di dalam almari,
di dalam laci,
aku engkau pendamkan.
Dulu…
pagi-pagi…
surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktu petang,
Aku kau baca beramai- ramai bersama temanmu di surau…
Sekarang…
seawal pagi sambil minum kopi…
engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku
yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau,
engkau abaikan dan engkau lupakan…
Waktu berangkat kerja pun
kadang engkau lupa baca pembuka surah-surahku(Bismillah).
Di dalam perjalanan
engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah
yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,
radiomu selalu tertuju ke stesen radio kesukaanmu
Mengasyikkan.
Di meja kerjamu
tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di komputermu pun
kau putar muzik kesukaanmu
Jarang sekali engkau putar ayat- ayatku…
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun
kau abaikan
Engkau terlalu sibuk sibuk dengan urusan duniamu
Benarlah dugaanku
bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku
Bila malam tiba
engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran televisyen
Di depan komputer berjam-jam
engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan
dan menatap gambar sampah
Waktu pun cepat berlalu…
Aku semakin kusam dalam laci-lacimu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama
Seingatku,
hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkau pun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Bila engkau di kubur sendirian
menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV,
radio,
hiburan
atau komputer
dapat menolong kamu?
Yang pasti
ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolongmu
Itu janji Tuhanmu,
Allah s.w.t
Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu…
Setiap saat berlalu…
Dan akhirnya…
kubur yang setia menunggumu…
Engkau pasti kembali,
kembali kepada Tuhanmu
Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati…
Di kuburmu nanti…
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah “Al-Qur’an”,
kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.
Peganglah Aku kembali…
bacalah aku kembali setiap hari…
Kerana ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah Yang
disampaikan oleh Jibril
melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu…
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingati Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali…
Baca dan pelajari lagi Aku…
Setiap datangnya pagi,
petang dan malam hari
walau secebis ayat
Seperti dulu…
Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan sendiri…
Dalam bisu dan sepi…
Sumber:azzariyat.com

Monday, April 5, 2010

MEMAHAMI RUKUN IMAN YANG KE-ENAM...~^_^~


TAKRIF AL-QADA’ DAN AL-QADAR:

Al-Qada’ dan al-Qadar merupakan rukun Iman keenam sebagaiman sabda Nabi s.a.w apabila ditanya Jibril a.s berkenaan Iman:

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره
Maksudnya: “Hendaklah kamu percaya kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, Hari Akhirat, dan beriman pula dengan Qadar (ketentuan) baik dan buruk”. [al-Bukhari, Muslim].

Kalimah al-Qada’ wal Qadar jika disebut salah satunya tanpa yang satu lagi seperti dalam hadis di atas di mana hanya menggunakan kalimah al-Qadar tanpa al-Qada maka ia membawa makna yang meliputi keduanya dan jika bersamaan keduanya maka terdapat makna yang berbeza. [Majmuk Fatawa Ibn Usaimin, 2/79&80].

Al-Qadar bermaksud:

“Ketentuan Allah s.w.t terhadap makhlukNya semenjak Azali” [Ibid]

Al-Qada’ pula bermaksud:

“Pelaksanaan Allah s.w.t terhadap ketentuan tersebut” [Ibid].

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

قَالَ كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا
Maksudnya: “ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.” [Maryam: 21].

Allah s.w.t menyatakan pelaksanaan terhadap sesuatu ketentuan yang telah ditetapkan semenjak azali sebagai al-Qada’ dalam ayat ini dan sekaligus menolak bidaah Muktazilah Moden (Hizb-ut-Tahrir) yang mengatakan al-Qada’ tidak warid dalam naqal.

Adapun berkenaan Qadar adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

HUKUM BERIMAN DENGAN AL-QADA DAN AL-QADAR

Jelas daripada hadis terdahulu bahawa al-Qadar dan al-Qada termasuk rukun Iman yang enam maka mereka yang tidak percaya dengan perkara ini adalah kufur. Ingkar kepada al-Qadar bermakna ingkar kepada Qudrat Allah s.w.t sebagaimana kata Imam Ahmad bin Hanbal r.h:

القدر قدرة الله
Maksudnya: “Qadar itu Kekuasaan Allah”. [Tuhfah al-Saniyyah fi Syarhi al-Haiyyah, syeikh Muhsin al-Abbad].

Berkata Saidina Ibn Abbas r.a:

القدر نظام التوحيد فمن وحد الله وكذب بالقدر فقد نقض تكذيبُه توحيده
Maksudnya: “(Beriman kepada) al-Qadar itu termasuk dalam Tauhid, maka sesiapa yang mentauhidkan Allah tetapi mengingkari Qadar maka pengingkarannya itu membatalkan tauhidnya”. [Ibid].

Beriman kepada al-Qada dan al-Qadar membawa makna seseorang muslim itu hendaklah yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya bahawa segala yang berlaku dalam alam ini sama ada yang baik atau buruk, Iman atau Kufur, Sunnah atau Bidaah, semuanya adalah berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t dan Allah s.w.t jua yang menjadikannya. Firman Allah s.w.t:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan” [al-Saffat: 96].

Sabda Nabi s.a.w:

واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ولو اجتمعواعلى أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك رفعت الأقلام وجفت الصحف
Maksudnya : “dan ketahuilah bahawa jikalau makhluk sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah seslesi ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”. [al-Tarmizi, Ahmad]

MARTABAT BERIMAN DENGAN QADA DAN QADAR

Terdapat empat martabat yang perlu kita beriman dalam masalah al-Qada dan al-Qadar ini iaitu:

Pertama: Beriman bahawa Allah s.w.t mengetahui semua yang akan berlaku sebelum ianya berlaku sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu Yang mengandung). dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya”. [Luqman: 34]

Maka martabat yang pertama ini termasuk dalam beriman dengan sifat Ilmu bagi Allah s.w.t.

Kedua: Tulisan dan catatan Allah s.w.t terhadap ilmuNya akan perkara-perkara tersebut dalam Kitab di sisNya di atas Arasy sebagimana firman Allah s.w.t:

وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ
Maksudnya: “dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]

Berkata Ibn Kasir r.h: “Semua perkara yang berlaku telah pun ditulis (sebelum berlakunya) dalam kitab yang dibentang dan ditetapkan dalam Lauh Mahfuz dan maksud Imam Mubin dalam ayat ini adalah Ibu Kitab” [Ibn Kasir, 6/568]

Demikianlah tafsir ayat ini dengan sepakat Mujahid, Qatadah, dan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam rahimahumullah dan Ibn Jarir al-Tabari r.h tidak menyebutkan sebarang khilaf dalam tafsirannya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

Imam al-Nawawi r.h dalam Syarah Muslim menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan peringkat penulisan Allah s.w.t terhadap takdir yang telah diketahuiNya sebelum itu lagi. [al-Minhaj, 16/203].

Ketiga: Martabat beriman bahawa semua yang berlaku dalam alam ini adalah dengan masyiah (kehendak) Allah s.w.t. Hal ini telah ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah dan terkenal dalam akidah mereka dengan ibarat:

ما شاء الله كان وما لم يشأ لم يكن

Maksudnya: “Apa yang Allah s.w.t kehendaki pasti berlaku dan apa yang Allah s.w.t tidak kehendaki pasti tidak akan berlaku”.

Firman Allah s.w.t:

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلَ الَّذِينَ مِنْ بَعْدِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَلَكِنِ اخْتَلَفُوا فَمِنْهُمْ مَنْ آمَنَ وَمِنْهُمْ مَنْ كَفَرَ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ
Maksudnya: “dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. [al-Baqarah: 253].

Firman Allah s.w.t:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya: “dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya)”. [al-Insan: 30].

Dalam ayat ini, Allah s.w.t menjelaskan bahawa segala kehendak manusia itu bergantung pada kehendak Allah s.w.t. Jika kehendak mereka sesuai dengan kehendak Allah dan diizinkan Allah untuk berlaku maka barulah ia berlaku jika tidak maka sama sekali tidak akan terjadi.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Takwir ayat 29:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”.

Dalam surah Hud ayat 34 Allah s.w.t berfirman menceritakan perkataan RasulNya yang pertama, Nuh a.s.:

وَلَا يَنْفَعُكُمْ نُصْحِي إِنْ أَرَدْتُ أَنْ أَنْصَحَ لَكُمْ إِنْ كَانَ اللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يُغْوِيَكُمْ هُوَ رَبُّكُمْ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika Aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadanya kamu akan kembali”.

Ayat ini menunjukkan dengan jelas, baik dan buruk, Iman dan Kufur seseorang, semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t.

*Perlu diberi perhatian juga bahawa Iradah dan Masyiah Allah itu terdapat dua jenis:

1- Iradah Kauniah: Iaitulah kehendak Allah s.w.t berkenaan kejadian alam ini seperti adanya baik dan jahat, iman dan kufur, tauhid dan syirik, dan sunnah dan bidaah. Iradah Kauniah mesti terjadi jika Allah s.w.t mengkehendakinya terjadi walaupun tidak semuanya diredai Allah s.w.t seperti kufur, Allah s.w.t mengkehendaki kufur tetapi tidak meredainya.

2- Iradah Syar’iyyah: Kehendak Allah yang berkaitan urusan sayriat seperti kehendak Allah s.w.t supaya hamba-Nya beriman dan mentauhidkanNya. Kehendak ini tidak semestinya berlaku kepada semua makhluk tetapi semua kehendak jenis ini diredai Allah s.w.t.

Keempat: Penciptaan Allah s.w.t terhadap takdir yang ditetapkanNya atau disebut marhalan ‘Penciptaan Perbuatan’ dan inilah yang dimaksudkan dengan Qada’. Maka apa yang Allah s.w.t berkehendak untuk berlaku maka Dia jualah yang menciptanya untuk berlaku. Dalilnya firman Allah s.w.t:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan” [al-Saffat: 96].

Maka apabila seseorang melakukan sesuatu perkara seperti makan maka dia makan adalah dengan kehendak yang Allah jadikan pada dirinya dan berlakunya perbuatan makan itu kerana mendapat izin dan perkenan Allah s.w.t dan perbuatannya makan itu makhluk (ciptaan) Allah s.w.t kerana Allah jua yang mencipta kekuatan (qudrat) pada makhlukNya untuk makan.

JENIS-JENIS QADAR:

Qadar itu terdapat beberapa jenis berdasarkan marhalah penulisannya dan kesemuanya terdapat lima jenis:

Pertama: Takdir Am sebelum penciptaan alam iaitulah yang dijelaskan terdahulu yang tertulis dalam Lauh Mahfuz. Takdir dalam Lauh Mahfuz ini tidak berubah bahkan Lauh Mahfuz adalah Ummul Kitab sebagaimana firman Allah s.w.t:

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ
Maksudnya: “Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya. dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu Segala suratan”. [al-Ra'd: 39].

Maka yang tertulis di dalam Lauh Mahfuz ini adalah berdasarkan Ilmu Allah yang azali lagi abadi yang tidak akan berubah.

Kedua: Takdir Rezeki, Ajal, dan amalan manusia sebelum diciptakan mereka sebagaimana dalam hadis debat Adam a.s dengan Musa a.s:

أتلومني على أمر قدره الله علي قبل أن يخلقني بأربعين سنة
Maksudnya: “(berkata Adam) Adakah kamu mencela aku atas urusan yang telah ditakdirkan Allah s.w.t berlaku atasku sebelum Dia mencipta aku dalam jarak 40 tahun?”

Ketiga: Takdir yang di atas juga setelah menjadi janin dan ditiupkan ruh. Ini berdasarkan hadis:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما ثم يكون في ذلك علقة مثل ذلك ثم يكون في ذلك مضغة مثل ذلك ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات بكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها
Maksudnya: “Sesungguhnya kejaidn seseorang kamu dikumpulkan dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian dalam tempoh itu ia menjadi segumpal darah kemudian dalam tempoh itu ia menjadi segumpal daging kemudian diutuskan malaikat dan ditiup ruh padanya dan diperintah untuk menulis empat perkara iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya, dan kedudukannya sama ada celaka (ahli neraka) atau bahagia (ahli syurga), maka demi Zat yang tiada sembahan yang berhak disembah kecuali dia sesungguhnya seseorang kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga antara dia dan syurga tinggal sehasta sahaja lagi lalu didahului dengan kitab (takdir) maka dia beramal dengan amalan ahli neraka dan memasukinya dan seseorang kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dia dengan neraka jaraknya sehasta sahaja lagi lalu didahului takdir maka dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu memasukinya”. [al-Bukhari & Muslim].

Keempat: Takdir Tahunan yang ditentukan pada malam Lailatul Qadar berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Qadar ayat 4:

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ
Maksudnya: “pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)”.

Kelima: Takdir Harian berdasarkan firman Allah s.w.t:

يَسْأَلُهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ
Maksudnya: “sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)”. [Al-Rahman: 29]

Maka demikianlah martabat penulisan takdir itu dan empat takdir yang terkemudian semuanya bergantung dan pecahan daripada takdir yang telah ditetapkan dalam Ummul Kitab (Lauh Mahfuz).

TAKDIR DAN USAHA:

Ahli Sunnah wal Jamaah percaya bahawa manusia itu bukanlah perlu menyerah sahaja kepada Allah s.w.t tanpa berbuat apa-apa kerana usaha adalah termasuk dalam takdir Allah s.w.t iaitu Allah s.w.t telah menetapkan dalam Alam ini setiap yang berlaku ada sebabnya, maka atas wujudnya sebablah manusia berusaha. Sabda Nabi s.a.w:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَمَقْعَدُهُ مِنْ النَّارِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ فَقَالَ اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ ثُمَّ قَرَأَ { فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى إِلَى قَوْلِهِ لِلْعُسْرَى }
Maksudnya: “Tidaklah ada seorang daripada kamu melainkan telah ditetapkan baginya tempat sama ada di syurga atau neraka”. Tanya Sahabat: ‘Wahai Rasulullah, tidak bolehkan jika demikian kami bertawakkal sahaja?’ Jawab baginda: “Berusahalah kerana setiap kamu dimudahkan baginya (berdasar apa yang ditetapkan padanya)”. Lalu Nabi s.a.w membaca : فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى hingga firman Allah: لِلْعُسْرَى

[Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim].

Maksudnya Nabi s.a.w menyatakan bahawa setiap manusia akan dimudahkan untuk berusaha ke arah takdir yang ditetapkan baginya. Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى (5) وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى (6) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى (7) وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى (8) وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى (9) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى (10)
Maksudnya: “Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, -serta ia mendustakan perkara yang baik, maka Sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”. [al-Lail: 5-10]

Oleh itu, tidak ada hujah ke atas Jabariah yang berdalih dengan takdir kerana takdir itu rahsia Allah s.w.t, seseorang itu tidak mengetahui nasibnya kecuali setelah dia berusaha dan mendapat natijah usahanya. Demikian juga Allah s.w.t telah menetapkan bagi manusia itu hasil sekedar apa yang diusahakannya sesuai dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam kitab-Nya dan telah diketahuiNya sejak azali.

Dalam hadis yang lain menyatakan:

قال عمر يا رسول الله أرأيت ما نعمل فيه أمر مبتدع أو مبتدأ أو فيما فرغ منه ؟ فقال فيما قد فرغ منه يا ابن الخطاب وكل ميسر أما من كان من أهل السعادة فإنه يعمل للسعادة وأما من كان من أهل الشقاء فإنه يعمل للشقاء
Maksudnya: “Berkata Umar: Wahai Rasulullah, apakah yang kita lakukan (amalan makhluk) ini perkara yang baharu atau telah pun telah ditetapkan oleh Allah? Jwab Nabi s.a.w: Telah ditetapkan wahai Ibn al-Khattab dan setiap orang itu dimudahkan baginya (berdasarkan takdir yang telah ditetapkan), maka sesiapa yang ditetapkan menjadi ahli saadah (syurga) maka dia akan beramal dengan amalan yang membawanya kepada syurga adapun mereka yang ditetapkan sebagai ahli syaqawah (neraka) maka dia akan beramal dengan amalan yang membawanya ke neraka”. [al-Tarmizi, Ahmad-sahih-].

Maka dengan jawapan Rasulullah s.a.w ini, terungkailah segala kemusykilan dan jelaslah jalan bahawa tiada pertentangan antara usaha dan takdir. Wallahua’lam.

TAKDIR DAN REDA:

Kita diperintahkan reda dalam takdir yang Allah s.w.t redainya dan tidak mencela pelakunya seperti Iman, Islam, dan musibah alam seperti cedera, sakit, kemalangan, dan kematian.

Adapun takdir yang Allah s.w.t mencela pelakunya maka kita dilarang meredainya seperti perbuatan dosa, walaupun ianya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t tetapi kehendak kauni dan Allah s.w.t mencela pelakunya maka dalam hal semacam ini kita dilarang meredainya. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 8/190-192].


:: dipetik dan diedit sikit-sikit dari mashoori.wordpress.com ::


SELAMAT MEMBACA

Sunday, April 4, 2010

Ini Sahajakah Imej Malaysia?

Artikel ini dicadangkan untuk bacaan umum

Gambar hiasan

“Alah payunglah payung, ketipang payung. Payung sutera anak raja muda, alah tolonglah tolong, cik abang tolong. Janganlah marah pada adinda!”, merdu suara Aliya, seorang pelajar kejuruteraan elektrik mendendangkan lagu klasik Melayu di Malam Malaysia itu.

Persembahan diserikan lagi dengan iringan penari yang rancak menyusun langkah. Satu depan, dua kiri, satu depan, tiga kanan. Cantik sekali tarian mereka.

Teruja penonton melihatnya. Bakal doktor, bakal akauntan, bakal jurutera, bakal pemimpin teraju negara, semuanya berbakat menari dan berdansa.

Sekejap lagu asli, sekejap lagu balada. Sekejap selembut nasyid, sekejap sekeras Rock membatu.

Malam Malaysia di mana-mana. Seluruh dunia yang ada pelajar Malaysia, mesti ada Malam Malaysia. Alasannya adalah untuk memperkenalkan budaya, mengukuh patriotik kepada negara. Tinggi falsafah indahnya warna.

Tetapi, ini sahajakah wajah Malaysia di mata dunia? Apakah Malaysia hanya ada tarian, hanya ada seni persembahan?

Saya akur bahawa jika Malaysia mahu disebut dari bahasa budaya, tentu sahaja zapin, wayang kulit, tarian dan dansa, itu yang terlintas di kepala. Akan tetapi, saya adalah seorang yang result oriented. Saya tidak melakukan sesuatu melainkan dalam keadaan penuh sedar, dengan apa yang mahu dicapai.

Apa yang mahu dicapai dari Malam Malaysia?

Asing benarkah tarian dan dansa kepada si putih di sini sana, sehingga setiap tahun dansa itu mesti diulang? Asyik-asyik menari, asyik-asyik menyanyi…

Saya telah beberapa kali cuba bertindak secara pro aktif, memberikan cadangan kepada pelajar di kampus-kampus luar negara. Jika mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, janganlah hanya pada makan pakai, tari dan suara. Di mana idea Malaysia? Di mana pemikiran Malaysia?

Apabila pelajar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya sering memberikan pandangan, mengapa tidak diadakan bersama “wacana minda”. Jika soal tari menari tidak boleh ditolak ansur, sekurang-kurangnya adakan juga sesuatu yang dapat memperkenalkan Malaysia dari sudut yang sesuai dengan imej universiti tempat ilmu dan pemikiran.

Mengapa tidak diadakan sesi, memanggil pakar-pakar ekonomi Malaysia, hadir memberikan pembentangan untuk memperkenalkan polisi pembangunan negara? Kalau rasa terlalu sensitif untuk menjemput figure yang dikaitkan dengan politik, kita ada ramai ahli akademik yang dapat menampilkan idea mereka di peringkat antarabangsa.

Tayangkan dokumentari tentang Malaysia yang tidak sukar untuk diperolehi dari pelbagai badan dan media. Didik masyarakat Barat tentang sesuatu yang boleh memperbaiki jati diri mereka. Bukan hanya hedonisma atas nama budaya.

BERALASANKAN KAUM CINA

Sesetengah pengalaman saya membabitkan alasan pelajar bahawa mereka mesti melibatkan tari menari kerana sejumlah besar tenaga penting persatuan adalah pelajar Malaysia berbangsa Cina. Sungguh pelik… apakah pelajar Cina bukan rakyat Malaysia, yang juga ada tanggungjawab sosial, politik, ekonomi, dan intelektual, sama seperti mana-mana bangsa Malaysia? Apakah hedonisma hanya salah pada harga diri Melayu tetapi tidak Cina? Apakah kaum Cina di Malaysia tiada agama untuk dipedulikan? Di mana rukun negara yang pertama?

Itu kalau benar, kaum Cina yang mahukan tari menari dan dansa.

Saya pernah berdialog dengan sebuah persatuan pelajar Malaysia yang kepimpinannya adalah daripada pelajar Cina. Subhanallah, mereka sangat terbuka.

“Saya harap peraturan-peraturan pelajar Muslim boleh sama-sama kita hormati”, saya memberi pandangan.

“Sudah tentu. Kaunter arak akan dilabelkan sebagai ‘not for Muslims‘ dan kami harap pelajar Muslim akan berpakat agar tidak bercampur jantina pada satu meja ketika dinner, dan tidak bercampur jantina dalam kumpulan bola tampar itu nanti. They need to be pro active“, kata Presiden persatuan pelajar Malaysia itu.

Sangat terbuka dan bertanggungjawab terhadap pluraliti agama dan budaya Malaysia.

Tetapi, pelajar Melayu Muslim sendiri yang suka bercampur bebas, terdesak untuk berjoget tanpa diminta oleh persatuan. Maka memberikan alasan bahawa mahu menghormati bangsa lain, hanyalah alasan untuk meneruskan budaya gersang minda dan lapar hedonisma pelajar Malaysia.

ISLAM SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA SEBUAH MALAYSIA

Saya hairan. Jika Mak Yong yang sudah pupus kerana tenggelam oleh kesedaran beragama itu, boleh diberikan nafas dan nyawa baru atas nama budaya, mengapa tidak Islam juga dipromosikan kerana ia elemen yang penting bagi sebuah Malaysia? Selain Islam, tidak salah untuk dibuka ruang agar wakil agama Kristian, Buddha dan Hindu di Malaysia, berdialog tentang kesedaran beragama di Malaysia. Mungkin boleh dibincangkan tentang bagaimana agama berperanan membina internal strenght di dalam jati diri bangsa Malaysia.

Kalau aktiviti agama, penuh prejudis, halangan dan kekangan. Tetapi tari menari, cepat sahaja bantuan diberi. Saya tidak faham di mana rasionalnya hal ini. Seorang doktor, bukan hanya menjadi doktor. Dia akan memimpin sebuah jabatan, dia akan berurusan dengan pesakit yang insan. Maka, pelajaran tarian mana yang bakal meninggalkan kesan pada kepimpinannya di masa hadapan?

Segala peruntukan dan sokongan, hanya untuk nyanyian, tarian, fesyen dan pakaian. Itu sahaja imej Malaysia yang diulang-ulang dari zaman sebelum merdeka, sampailah menjelang milenium kedua.

Kerana kemaruk hedonisma, budaya dan jati diri Malaysia disalah guna untuk melesenkan nafsu muda yang tidak habis-habis mahu berpesta.

Di manakah masa depan Malaysia yang lebih bermakna?

Soalan itu tenggelam oleh libasan lidi Mak Yong di Barat sana.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur